Atraksi Taiwan Utara
Wilayah Utara merangkumi tujuh bandar dan daerah, iaitu Bandar Taipei, Bandar New Taipei, Bandar Keelung, Daerah Yilan, Bandar Taoyuan, Daerah Hsinchu, dan Bandar Hsinchu, yang menggabungkan kemeriahan kehidupan bandar dengan keindahan landskap semula jadi. Taipei 101 menawarkan pemandangan panoramik bandar, manakala pelbagai pasar malamnya menyajikan makanan popular seperti bubble tea, xiaolongbao (ladu berinti daging) dan ayam goreng rangup. Muzium Istana Negara pula menempatkan koleksi artifak bersejarah yang sangat bernilai dan wajar dikunjungi. Di Keelung, pengunjung boleh menikmati suasana Pasar Malam Miaokou dan pesisir Pulau Heping, yang menyerlahkan pesona bandar pelabuhannya. Pekan-pekan Jiufen, Tamsui, Yingge, dan Sanxia di Bandar New Taipei terkenal dengan jalan-jalan lama yang masih mengekalkan suasana nostalgia dan warisan budaya. Batu Nanya di Pantai Timur Laut serta Taman Geologi Yehliu di Pantai Utara pula mempamerkan formasi batuan semula jadi yang unik. Taman Negara Yangmingshan terkenal dengan landskap gunung berapi yang mengagumkan serta padang bunga yang indah. Tarikan di Taiwan Utara turut merangkumi mata air panas dan pesisir pantai Yilan, Jalan Lama Daxi dan Takungan Shimen di Taoyuan, serta Taman Teknologi Hsinchu dan penempatan masyarakat Hakka. Kesemua destinasi ini menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan aktiviti riadah.
